Sunday, 12 July 2015

BUAH-BUAHAN TEMPATAN

Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

                                 BUAH-BUAHAN TEMPATAN


Buah durian, rambutan, langsat, manggis, cempedak, pisang dan betik adalah antara buah tempatan yang popular. Buah-buahan di negara kita setanding dengan buah-buahan import. Buah-buahan ini enak dan berkhasiat untuk kesihatan tubuh badan. Orang ramai suka makan buah-buahan tempatan. Selain rasanya yang sedap dan manis, buah-buahan tempatan mudah diperoleh sama ada di pasar, pasar raya, pasar malam, pasar tani atau di tepi-tepi jalan. Harganya pula lebih murah berbanding dengan buah-buahan yang diimport.
            Ada buah-buahan yang bermusim dan tidak bermusim. Buah durian, rambutan, manggis dan cempedak tergolong dalam kumpulan buah bermusim. Buah nangka, betik, pisang, jambu dan limau pula buah tidak bermusim. Kita dapat makan buah-buahan tidak bermusim sepanjang masa. 
            Kini, buah-buahan tempatan ditanam secara meluas sama ada di dusun, ladang dan di belakang rumah dengan pelbagai kaedah. Penanaman buah-buahan secara moden dan berteknologi tinggi dapat menghasilkan buah-buahan yang bermutu untuk tujuan pasaran tempatan dan eksport. Dorongan yang kuat daripada pihak Jabatan Pertanian, MARDI dan FAMA telah mengubah hala tuju industri penanaman buah-buahan tempatan.

            Penemuan dan penciptaan baka-baka baharu buah-buahan yang bermutu tinggi seperti durian, limau, pisang, mempelam dan duku membolehkan buah-buahan tempatan dieksport ke luar negara.
            Buah-buahan ini dieksport ke negara Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Jepun. Hal ini secara langsung membantu dalam meningkatkan ekonomi negara. 

            Berbalik kepada khasiat buah-buahan tempatan, telah terbukti bahawa buah-buahan di negara kita kaya dengan pelbagai vitamin dan zat untuk mengrangsang pertumbuhan tubuh badan yang sihat dan seimbang. Buah-buahan seperti limau, pisang, mangga, betik, ciku dan jambu batu mengandungi serat, vitamin C, potassium dan kalium yang tinggi. Oleh sebab itulah, kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia makan buah-buahan tempatan melalui kempen “Makanlah Buah-buahan Tempatan”.


            Di samping itu, untuk meningkatkan penanaman dan pengeluaran buah-buahan tempatan secara besar-besaran. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menyambut baik kempen ini dan bersama-sama memastikan buah-buahan tempatan terus mewah untuk dinikmati sampai bila-bila. 

1)   Mengapakah orang ramai suka makan buah-buahan tempatan?
 A Buah-buahan tempatan ditanam secara meluas.
 B Buah-buahan tempatan mudah didapati dan rasanya enak.
 C Harga buah-buahan tempatan setanding dengan buah-buahan import
 D Buah-buahan tempatan lebih berkhasiat daripada buah-buahan import

2) Apakah yang menyebabkan buah-buahan tempatan sekarang lebih bermutu                             berbanding dahulu?
A Ditanam dengan banyak di ladang.
B Permintaan yang tinggi di dalam dan luar negara.
C Khasiat yang tinggi untuk kesihatan badan.
D Kaedah penanaman yang menggunakan teknologi terkini.

3) Penyataan di bawah adalah benar kecuali
A Buah-buahan tempatan mengandungi khasit yang tinggi.
B Buah-buahan tempatan banyak diimport dari luar negara.
C Buah-buahan tempatan sudah memasuki pasaran luar negara.
D Buah-buahan yang tidak bermusim dapat diperoleh sepanjang tahun.

4) Mengapakah kerajaan melancarkan kempen “ Makanlah Buah-buahan Tempatan”?
A Untuk meningkatkan pendapatan para petani.
B Untuk memberi peluang kepada para petani memasarkan buah-buahan ke        luar negara.
C Kerana kerajaan telah mencipta baka pokok buah-buahan tempatan yang bermutu tinggi.
D Kerana khasiat buah-buahan tempatan yang sesuai untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan.

5) Maksud perkataan dorongan dalam petikan ialah
A galakan
B kemahuan
C pengangan
D kesungguhan

No comments:

Post a Comment